Sunday 15 February 2015

Kenali Tiga Tanda Alloh Membersihkan Hamba-Nya

Dinda Sharing - Bisikan hawa nafsu dan Tipu daya syaitan sentiasa mempermainkan  kehidupan seorang insan, setiap saat kedua-duanya bersatu merancang untuk merobohkan benteng iman di hati manusia. Namun  begitu tidaklah Alloh Ta'ala menyerahkan sebulat-bulatnya diri orang mukmin untuk menjadi hidangan syaitan dan hawa nafsu mereka, bahkan  Alloh Ta'ala membersih jiwa orang mukmin itu setiap saat hingga mereka  kembali kepada-Nya dalam keadaan sebersih-bersihnya.

TIGA TANDA² ALLOH MENSUCIKAN DIRI SEORANG HAMBA.
1. Diturunkan musibah kepadanya lalu dia ridho.
2. Dihidupkan jiwanya lalu dia bertaubat.
3. Dituntun hatinya lalu dia suka beribadah

Tiga perkara yang amat besar fungsinya untuk memastikan hamba yang beriman tetap terjaga dan terlindung dari jenayah hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Sehingga dia bertemu Alloh dalam keadaan suci, bersih lagi  diridhoi.

|. DITURUNKAN MUSIBAH KEPADANYA LALU DIA RIDHO
Sesunggguhnya musibah akan membentuk tiga karakter manusia.
1. Jiwa yang unggul, teruji dan benar cintanya kepada Alloh Ta'ala.
Musibah amat berkait rapat dengan perasaan kejiwaan manusia,
• Apakah dia ridho dan akur atas kehendak Alloh kemudian percaya dengan ganjaran bagi orang yang sabar?
• Apakah dia menerima musibah itu sebagai hadiah terindah dari kekasih Yang Maha mengasihani?
• Apakah musibah itu mampu melonjakkan imannya ke tahap yang lebih  tinggi sehingga dia sentiasa meneliti kekurangan diri? Kemudian  bertanya: “Mengapakah Alloh memilih diriku?
• Apakah dosa-dosaku yang harus disucikan dengan datangnya musibah ini, bagaimanakah aku harus memperbaiki diri dan amalku?”

Akhirnya, lahir satu keyakinan bahwa Alloh Ta'ala akan mengganti musibah itu  dengan kebaikan yang akan datang selepasnya. Sesuai dengan Firman-Nya: “Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah ayat 5)

2. JIWA YANG MEMBERONTAK.
Apabila seseorang menerima musibah dengan hati yang berprasangka buruk kepada Alloh Ta'ala. Dia berkata:
“Tuhan telah menghinakan aku", menyerahkan aku kepada orang-orang yang  jahat lalu mereka menzalimiku. Tuhan menolak doa-doaku, mencampakkan  ibadatku sehingga empat puluh hari, Dia tidak menerima amal shalehku. Dia  menghukum, menutup pintu langit, menahan rezeki dan mengazabku dengan  musibah ini.

Naudzu billahimin dzalik, betapa bijaknya syaitan meniupkan  penyakit putus harapan yang mematikan jiwa redha seorang hamba. Hal ini  amat bertentangan dengan suruhan Alloh Ta'ala kepada orang yang berdosa didalam  surah al-Zumar ayat: “Katakanlah: “Wahai  hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri,  janganlah kamu berputus asa dari rahmat Alloh. Sesungguhnya Alloh  mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun  lagi Maha Penyayang.”

3. JIWA YANG MUDAH BERPALING.
Kesetiaan menjadi faktor terpenting dalam perhubungan, sebagaimana  seorang hamba mesti membuktikan setianya kepada Alloh Ta'ala dalam setiap  keadaan. Susah atau senang, sibuk atau lengang, kaya atau miskin,  terkenal atau terlupakan, diatas atau dibawah, disanjung atau  dijatuhkan. Bagaimanapun situasi yang terjadi, hubungan hati dengan  Alloh Ta'ala tetap terjaga. Tidak pernah melupakan Alloh Ta'ala saat senang  sebagaimana dia mengingati-Nya di kala susah. Tetapi Al-Quran telah  merekamkan keadaan orang yang mudah berpaling ketika dilanda musibah  dalam hidupnya. Sebagaimana firman-Nya:
“Dan di antara  manusia ada orang yang menyembah Alloh dengan berada di tepi. Maka jika  ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia  ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di  dunia dan di akhirat yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.  (Surah al-Hajj ayat: 11)

Sudah selayaknya setiap hamba Alloh  memandang musibah sebagai satu tanda bahawa Allah Ta'ala mau  membersihkan dirinya, memberi jaminan kafarah atas segala dosanya  sehingga dia bertemu Alloh dengan jiwa yang ridho lagi diridhoi.  Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ : “Tiada seorang muslim yang menderita kelelahan, atau penyakit atau  kesusahan hati bahkan gangguan berupa duri yang menyakitinya melainkan  semua itu menjadi penebus dosa-dosanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari  Muslim)

||. DIHIDUPKAN JIWANYA LALU DIA BERTAUBAT
Setiap kali berbuat dosa hati akan tersiksa, takut, sedih dan putus asa  mengingati kejahatan diri. Disitulah rahmat bagi orang beriman yang  melakukan dosa, dia sentiasa ingat untuk bertaubat, merayu dan memohon  maaf kepada Alloh Ta'ala, merintih dan menangis, sesal yang tidak terperi  sakitnya, lalu dia mendekat serapat-rapatnya kepada Alloh Ta'ala dan mengetuk pintu taubat setiap kali melakukan kesilapan.

Kemudian hatinya  berbisik: “Siapakah yang berkuasa membuka relung hatiku dan  membersihkannya dari karat dan noda maksiat? Siapakah yang memberi  cahaya ke jiwaku dan menggetarkan perasaan dengan ilmu-Nya sehingga  meneteslah airmata penyesalanku? Engkaulah Tuhan Yang Maha Menerima  Taubat yang telah berfirman : “Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku katakanlah bahawa Aku adalah dekat.” (Surah al-Baqarah ayat: 186)

Bagaikan mati hidup semula, begitulah perumpamaan tentang jiwa orang  mukmin yang kembali kepada Alloh, sebagaimana perumpamaan Al-Quran :
“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia kami hidupkan  dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu  dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan  orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak  dapat keluar dari padanya?” (Surah Al-An’am ayat: 122)

Selain  menghidupkan jiwa orang mukmin, taubat juga menjadi cara dan kaedah  termudah untuk diterima kembali oleh Alloh Ta'ala dalam pelukan  rahmat-Nya. Namun kadang-kadang jiwa manusia bersikap angkuh, merasa  diri telah sempurna dan tidak pernah terseleweng walau sesaat, memandang  orang lain dengan pandangan kehinaan, seolah-olah aib dan kelemahan itu  hanya milik orang sedang dirinya tiada cela.

Beristighfarlah  untuk masa yang dibuang percuma tanpa mengingati Alloh. Beristighfarlah  untuk diri yang kurang amanah terhadap keluarga dan kerjanya.  Beristighfarlah untuk membersihkan hati dari sangka buruk, riya, tamak,  dengki, cemburu dan lidah yang menyengat perasaan orang lain.  Beristighfarlah kerana rela menjadi sahabat syaitan angkara kejahilan  diri dan ketandusan ilmu. Beristighfarlah untuk diri yang tidak merasa  perlu untuk beristighfar. Lakukanlah sepanjang masa hingga bertemu Alloh  Ta'ala dalam keadaan bersih lagi diridhoi.

|||. DITUNTUN HATINYA LALU DIA SUKA BERIBADAH.
Sepatutnya para ahli ibadat bersyukur kepada Alloh kerana mereka telah  dipilih sebagai orang-orang yang dekat di sisi-NYa. Roh ibadah itu telah  menjadi darah dan daging mereka, kemana saja mereka melangkah semuanya  diniatkan untuk ibadah kepada Alloh. Tetapi berhati-hatilah dengan tipu  daya syaitan yang suka memuji diri kita kerana ibadah kita itu sehingga  membuat diri lupa bahawa semua itu atas sebab pertolongan Alloh Taala.  Syaitan juga memujuk diri manusia supaya cepat berpuas hati dengan  ibadahnya . Sehingga roh ibadat itu hilang dalam diri nya.

Ya,  apabila ibadah yang dilakukan tidak ditujukan untuk mengobati diri,  memperbaiki akhlak, meluruskan moral, membangkitkan kekuatan supaya  cemerlang sebagai mukmin berjaya di arena dunia yang mencabar dan ibadah  itu tidak mampu memaparkan gambaran hidup tentang siksa kubur dan  nikmatnya, syurga dan neraka, peristiwa hari kebangkitan. Apabila ibadat  hanya dianggap sekadar melunaskan hutang, membayar kewajipan,  mendirikan rukun dan syaratnya saja tanpa diselami dengan penghayatan.

Bagaimanakah ibadah Rasulullah ﷺ ? Aisyah rha berkata : “Rasulullah bangun sembahyang di waktu malam, sehingga  pecah-pecah kaki baginda. Saya bertanya: Mengapakah kamu berbuat begini Ya Rasulullah, padahal Alloh telah mengampuni dosa-dosamu yang telah  lalu dan yang kemudian? Rasulullah ﷺ bersabda:  “Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur (atas nikmat Alloh tersebut).” (HR. Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Tergeraknya hati untuk melakukan ibadah merupakan tuntunan Alloh kepada  hamba-Nya semata-mata mahu mensucikan kita dan memberi ganjaran yang baik di sisi-Nya. Bukankah sembahyang menjadi pengapus dosa-dosa kecil  selama tidak dilakukan dosa besar? Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan merupakan proses pergiliran penghapusan dosa yang sepatutnya disyukuri. Jauh sekali melahirkan jiwa yang sombong dan suka memuji diri sendiri dengan ibadah yang masih masin lagi (tidak sedap untuk  dinikmati).

Ya Alloh, bimbinglah kami agar dapat senantiasa bersyukur kepadaMu dan untuk beribadah lebih baik lagi. Sampaikan kami pada rahmat serta ridho-Mu. Aamiin.

Wallohu Ta'ala a'lamu bishowab

thumbnail
Judul: Kenali Tiga Tanda Alloh Membersihkan Hamba-Nya
Rating: 100% based on 99998 ratings. 5 user reviews.
Ditulis Oleh

Artikel Terkait Hikmah dan Renungan :

0 komentar:

Post a Comment

 
Copyright © 2013. About - Sitemap - Contact - Privacy
Template Seo Elite oleh Al Fikr Publisher FreTempl